Tuesday, 7 June 2011

Surat Untuk Saya


Hari ini masuk hari kelima kami tidak bertegur sapa. Walaupun kami ni roommate, tinggal sebilik, tidur pun sebilik, tapi peristiwa itu benar-benar membuatkan aku dan dia, Afif, saling tidak bertegur sapa.
Kalau pada hemat aku, bukanlah besar sangat masalahnya, cuma bagi dia mungkin itu perkara besar apabila aku terkantoi membaca surat cinta dari kekasihnya, Suhaila kerana ia berhubung kait dengan privacy.
Permulaan kes pembacaan surat ini apabila aku ternampak ada sepucuk surat bersampul merah jambu di atas mejastudy aku. Dah nama pun meja aku, ingatkan surat untuk aku lah.
Tapi, bila buka sahaja mukadimah ayatnya, tertera sebaris ayat, 'Buat Yang Teristimewa, Afifudin'. Alang-alang dah terbuka, aku pun meneruskan sahaja pembacaan. Ayat-ayat yang ditulis punyalah penuh dengan ayat mendayu-dayu ibarat angin pantai yang halus membelai pipi, gaya tulisan macam ini kalau bagi pada cikgu Bahasa Melayu memang confirm la dapat A+.
Aku sebenarnya pernah nampak si Afif baca surat tu dan masa tu riak muka dia jelas menunjukkan betapa dia sedang di fasa ambang cinta. Sejujurnya, bagi aku tulisan itu tiada apa-apa kesan pun, sebab SURAT TU BUKAN UNTUK AKU PUN. Tapi tidak sangka pula, sedang khusyuk aku baca, diam-diam si Afif datang dari belakang dan aku pun terkantoi dengan tangan aku masih lagi pegang erat surat tu. Padahnya, dapatlah aku merasa satu tumbukkan padu yang mengena tepat di pipi aku.
Situasi di atas, sudah cukup untuk aku ungkapkan kepada pembaca sekalian betapa pentingnya surat cinta dari kekasih hati buat sang kekasih sehinggakan sahabat kita pun sanggup kita tumbuk. Tetapi bagaimana pula dengan al-Quran? Adakah sama status al-Quran ini dengan status surat cinta yang dianggap begitu 'privacy' itu? Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W untuk kita semua atau lebih jelas lagi untuk "SAYA".
Dalam hal ini, selalu kita mengecualikan diri kita. Jika ditanya, untuk siapa al-Quran diturunkan maka jawapan skema akan keluar iaitu untuk manusialah, kitalah, orang Islamla, kenapa tidak untuk "SAYA"?
Oleh sebab jawapan manusia sentiasa untuk "kita", maka oleh kerana jawapan inilah yang membuatkan kita tidak terkesan apabila membaca ayat-ayat al-Quran yang penuh dengan kata-kata peringatan.
Sebagai contoh kisah Nabi Yusof dan adik-beradiknya yang mana Yusof ini dicemburui lalu sampai baginda dicampak ke dalam perigi. Malah pengajaran Habil dan Qabil juga, mereka berbunuhan disebabkan hasad dengki yang bermain dalam diri.
Dua contoh kisah ini mungkin cukup utk diungkapkan. Untuk menjadikan al-Quran itu berkesan buat diri ini, maka cuba letak diri kita dalam situasi yang terdapat dalam al-Quran seolah-olah al-Quran ini diturunkan tepat dengan situasi kehidupan kita.
Al-Quran ini sebagai satu peringatan yang sangat jelas telah Allah turunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W kepada setiap individu Islam.
Seringkali semasa zaman kanak-kanak kita dahulu, cerita fairytale menjadi sebahagian dari kisah angan-angan dan impian kita sewaktu kecil. Bagi yang perempuan, berangan menjadi seperi Cinderella yang nanti datangnya putera idaman untuk mengahwininya, tidak kurang yang lelaki yang berangan mahu menjadi Superman menyelamatkan dunia. Begitulah juga dengan al-Quran, di mana kisah-kisahnya lebih dekat terkena ke batang hidung sendiri.
Sayangnya jika kita tidak meletakkan diri kita dalam situasi yang terdapat dalam contoh-contoh ayat pengajaran dari al-Quran, maka samalah situasi 'aku' yang tiada kesan pun dengan tulisan dalam surat cinta tadi.
Sebab apa? Sebab surat itu bukan ditulis untuk aku, jadi buat apa aku nak touching dengan kandungan isi surat tu. Namun al-Quran ini lain, ia diturunkan untuk memberi kesan kepada setiap dari kita. Ia diturunkan untuk SETIAP orang Islam di atas muka bumi ini untuk berpesan-pesan walaupun sepotong ayat.
Jangan kita menjadi seperti di dalam surah al-Jumu'ah ayat 5:
" Perumpamaan orang-orang yang diberi tugas membawa Taurat, kemudian mereka tidak membawanya (tidak mengamalkannya), adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Sangat buruk perumpaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah. Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim."
Jelas di sini, sekiranya kita membaca al-Quran, tetapi tidak mengamalkannya, kita juga boleh jadi seperti keldai yang membawa kitab-kitab tebal.
Membaca dan menghayati al-Quran adalah salah satu cara untuk kita berinteraksi dengan al-Quran yang ada dalam bilik kita ataupun di rak-rak buku.
Kalau sebelum ini kita hanya baca, tetapi tidak meneliti maksud, cubalah berubah dengan membaca sekali dengan meneliti maksud.
Jika sebelum ini kita baca dan meneliti maksud namun hanya memahami bahawa kisah-kisah atau pengajaran itu untuk kaum yang tersebut, maka cepatlah kita berubah untuk meletakkan kisah-kisah itu di atas batang hidung kita sendiri agar ayat Quran itu lebih terkesan buat diri kita ini. Insya-Allah.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More