Friday, 18 November 2011

Jumaat Penghulu Segala Hari


Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:“Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia) tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dahulu masuk syurga, padahal mereka diberi kitab lebih dahulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu Hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Besok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani. “

 
(al-Bukhari)








HARI Jumaat adalah penghulu segala hari atau disebut ‘sayyidul aiyyam’ kerana mempunyai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah SWT. Bagi umat Islam, hari itu amat berharga dan hari untuk beramal ibadat bagi merebut kelebihan penghulu segala hari.



Berdasarkan penjelasan hadis, hari Jumaat adalah hari pertama kemunculan matahari di dunia, pada hari itu Allah SWT menciptakan Nabi Adam, berlakunya hari Kiamat dan Allah SWT mengizinkan ahli syurga untuk memasuki syurga.


Manakala malaikat pula menamakan hari Jumaat sebagai hari penambahan disebabkan banyaknya pintu rahmat dibuka dan Allah SWT akan melimpahkan kurnia-Nya serta menabur kebaikan-Nya.


Hakikatnya, menjadi tetamu Allah SWT pada penghulu segala hari adalah saat istimewa kerana memberi peluang menilai ketakwaan dan membersihkan dosa.




Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”


Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).


Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat. Pada hari itu terdapat suatu masa seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)


Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran ALLAH S.W.T daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.


Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”


Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu 
1)  Allah ciptakan Adam , 
2)  Allah turunkan Nabi Adam  ke bumi,
3) Allah mematikan Nabi Adam, 
4)  Pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. 
5)  Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.
( Riwayat Hadis Muslim)

Kemuncak ibadat bagi tetamu Allah di masjid ialah mendengar dua khutbah dan solat fardu Jumaat. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Surah al-Jumaah, ayat 9)


Perjumpaan tetamu Allah setiap minggu di rumah Allah mampu membaiki keimanan, meningkatkan persaudaraan sesama Muslim dan perpaduan ummah. Oleh kerana besar pengaruh perjumpaan tetamu Allah ini, maka sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur dibenarkan syarak, mereka dikira sebagai orang yang lalai.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa uzur, Allah akan menutup mata hatinya.” 


(Hadis riwayat al-Nasa’ie)




Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumudin, pada malam dan siang hari Jumaat ada sesaat yang mulia di mana segala permohonan doa akan dimakbulkan dan saat itu dirahsiakan. Siapa meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat, Allah mencatat untuknya pahala orang syahid dan menjaganya dari azab kubur.
Amalan sunat hari Jumaat seperti qiamulail, sujud syukur, berzikir, beriktikaf dan membaca al-Quran seperti surah al-Kahfi, Yaasin, Sajjadah dan al-Mulk.


Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi cahaya yang akan menerangi dirinya antara dua Jumaat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)




Rebutlah peluang untuk membersihkan diri dan bertaubat pada penghulu segala hari. Marilah bersama merenung firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.” (Surah al-Jumaat, ayat 10)


Wallahualam....


*Sumber Rakan2 Blogger 


FanPage : http://www.facebook.com/IslamicBarakahGeneration

1 comments:

Anonymous said...

apa yang saya cari, terima kasih

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More